Sudahkah Kita Berhijrah?

Kedah – Hadirin, Sidang jumaat yang dirahmati Allah, marilah sama-sama kita berusaha tingkatkan amal ibadah kepada Allah, supaya kita menjadi seorang hamba yang beriman, beramal soleh dan tergolong menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Hari ini adalah hari yang ke-6 di bulan Muharam. 4 hari lagi kita akan kedatangan satu hari yang luar biasa, yang disebut hari ‘Asyura, hari ke-10 Muharam. Kenapa hari ‘Asyura disebut hari yang luar biasa? Kerana, berlaku banyak peristiwa bersejarah bukti kekuasaan Allah swt. Hari Allah ciptakan seluruh makhluknya, hari diturunkan Nabi Adam dan Siti Hawa ke bumi dan mengampuni taubatnya, hari kapal Nabi Nuh berlabuh dalam banjir besar yang melanda seluruh alam, hari diselamatkan nabi Ibrahim dari dibakar api, hari Allah menukarkan Nabi Isa diangkat naik ke langit, hari Nabi Musa membelah laut kerana dikejar oleh tentera Firaun, hari Allah mengeluarkan nabi Yunus dari perut ikan nun setelah 40 hari berada di dalamnya.

Maka kata baginda nabi saw., Afdholus Shiam Ba’da Ramadhan, Syahrullahil Muharrom, Waafdholus Sholah Ba’dal Faridhoh, Solatullail. Seafdal puasa setelah Ramadhan adalah puasa di bulan Muharrom, sedangkan solat yang paling utama setelah solat fardhu, adalah solat malam. (Muslim). Bahkan dijelaskan oleh baginda nabi saw., “Siapa yang berpuasa pada hari Asyura, akan diberi oleh Allah, ganjaran pahala 10,000 malaikat, 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang yang mati syahid. Dan barangsiapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah akan menaikkan dengan setiap rambut yang diusap itu dengan satu darjat. Dan siapa yang memberi makan kepada orang mukmin yang berbuka puasa pada hari Asyura, seolah-olah dia memberi makan pada seluruh umat Rasulullah saw. yang berbuka puasa.” Maka menurut para alim ulama, puasa hari Asyura adalah Sunat yang sangat dituntut atas umat Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, ketika bulan Muharram, kita selalu diperingatkan tentang peristiwa penghijrahan baginda nabi saw. dari kota mekah menuju kota madinah. Jawapan ini juga yang akan kita dapat apabila bertanya tentang makna hijrah. Berpindah dari satu tempat menuju ke tempat yang lain. Padahal sebenarnya, hijrah itu mempunyai skop makna yang sangat luas, bukan saja terbatas kepada pengertian tempat, tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindahnya dari sifat atau kelakuan yang kurang baik menjadi baik. Maka, hari ini, kita harus bertanya diri kita, sudahkah kita berhijrah? Sudahkah kita memperbaiki kelemahan diri? Adakah hari demi hari kita menjadi semakin baik? Ini yang harus kita persoalkan tentang hijrah.

Sebagaimana firman Allah, Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jadi, orang yang beriman, berhijrah dan berjihad, adalah orang yang mendapatkan rahmat Allah. Sebab hari ini kita berjaya, bukan kerana kehebatan kita, atau kerana amal-amal kita, kita selamat kerana rahmat Allah. Kerana amal-amal kita pasti tidak memadai untuk mampu menjadikan kita ahli syurga, tetapi kita beramal supaya mendapatkan rahmat Allah. Termasuk beriman, berhijrah dan berjihad.

Maka, hari ini, mari kita fahami tentang 5 jenis hijrah, yang pertama, hijrah dari kemusyrikan menuju tauhid kepada Allah. Ini yang paling penting. Kita, walaupun sudah Islam, dan sudah merasa beriman, tapi kita selalu harus berani memeriksa diri kita, selama ini siapa saja yang menjadi ilah (tuhan) kita. Kemungkinan lisan kita menyebut Laailahaillallah, padahal hati kita masih menuhankan yang lain. Ini yang disebut ilah. Sesuatu hal, yang menguasai hati dan fikiran, sehingga siang dan malam kita hanya memikirkannya, sampai termasuk didalam solat kita. Kalau kita ingin tahu siapa ilah kita, lihat dalam solat kita, siapa dan apa yang menguasai hati dan fikiran kita ketika solat, itu sudah membuktikan siapa tuhan kita. Kerana apa yang dikuasai dalam fikiran dan hati, akan mendorong kita hanya memikirkannya, ingin selalu dekat dengannya, takut jauh darinya, segala-galanya untuknya, sanggup korban apa saja deminya, ini yang menjadi tuhan kita.

Anda mungkin juga berminat
Komentar
Loading...